Menopause adalah tempoh perubahan di mana wanita tidak lagi mengalami menstruasi selama 12 bulan. Ia menandakan berakhirnya kitaran haid wanita dan berlaku seiring dengan pertambahan usia.
Tidak ada usia yang tepat untuk menjangka tempoh menopause pada wanita. Namun, secara umumnya ia boleh dikatakan berlaku sekitar antara usia 45 hingga 55. Ada yang berlaku lebih awal dan ada juga yang lebih lewat.
Menjelang berlakunya menopause pada wanita, terdapat fasa peralihan yang digelar perimenopause. Ia melibatkan beberapa simptom akibat perubahan kadar hormon estrogen dan progesteron. Malah, tanda atau simptom ini mungkin akan berlangsung selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun setelah berhentinya haid.
10 TANDA MENOPAUSE PADA WANITA YANG JARANG DIBERITAHU
Berikut adalah tanda dan simptom menopause pada wanita yang biasa berlaku, tetapi mungkin jarang diberitahu.
1. SAKIT PADA PAYUDARA
Perubahan turun naik hormon boleh menyebabkan rasa sakit atau ketidakselesaan pada payudara. Seperti yang berlaku ketika haid atau ovulasi, payudara juga mungkin berasa lebih sensitif dan tegang.
Namun, ketika menghampiri saat menopause, kitaran haid anda adalah tidak tetap. Maka, lebih sukarlah untuk anda menjangkakan waktu ketidakselesaan ini berlaku.
2. HOT FLASHES
Tubuh terasa cepat panas dan berpeluh-peluh dengan banyak. Inilah gejala hot flashes yang mungkin merupakan salah satu tanda menopause pada wanita yang paling popular.
Apabila tahap estrogen menurun, kelenjar yang mengawal suhu tubuh akan turut terjejas. Badan akan berasa panas tanpa sebab dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Namun, ada yang merasakan hot flashes ini hanya buat beberapa saat, setengah jam, atau ada yang lebih lama daripada itu. Pakailah pakaian yang selesa, banyakkan meminum air, dan gunakan ais pek sekiranya perlu.
3. BAU BADAN YANG LEBIH KETARA
Ada yang mengaitkan bau badan ini dengan peluh berlebihan akibat gejala hot flashes,tetapi ia bukan setakat itu.
Penurunan kadar estrogen dalam tubuh juga sebenarnya mempengaruhi kelenjarhypothalamus dengan memberi isyarat anda sedang berasa panas. Akibatnya, lebih banyak peluh yang terhasil sehingga menyebabkan ia sukar dikawal dan terjadinya bau badan.
4. TUMBUH ‘MISAI’ & ‘JANGGUT’
Jangan terkejut sekiranya anda mendapati akan tumbuhnya ‘janggut’ atau ‘misai’ pada wajah. Menurut sumber, ini merupakan simptom yang biasa dilalui menjelang berakhirnya haid anda.
Seiring dengan pertumbuhan rerambut pada tempat-tempat baru ini, rambut sebenar pada kepala anda pula akan menjadi semakin kering, rapuh, dan menipis hingga menyebabkan keguguran rambut.
5. RASA BERDEBAR
Kajian menunjukkan epinephrine dan norepinephrine yang meregulasikan kadar degupan jantung dan tekanan darah sering berubah-ubah dari semasa ke semasa.
Ia mungkin menyebabkan anda berasa berdebar dan barangkali risau tanpa sebab yang munasabah. Sekiranya ia berlaku kepada orang terdekat seperti ibu kita, bantulah mereka dengan memberi sokongan moral dan pendengar setia mereka.
6. SUKAR MENGAWAL KENCING
Terkencing apabila anda melompat, batuk, atau bersin kedengaran seperti melucukan. Tapi, ia adalah realiti yang akan berlaku menjelang tempoh menopause pada wanita.
Selain kesukaran mengawal pundi kencing, kekerapan anda untuk ke tandas juga semakin bertambah. Ini disebabkan penipisan lapisan dinding uretra dalam sistem urinari serta otot pelvik yang semakin lemah.
7. KULIT YANG KERING
Seorang pakar, Dr Pinkerton menyifatkan fasa menopause ini sebagai ‘reverse puberty’,di mana anda mungkin akan melalui masalah yang pernah anda lalui di zaman remaja. Antaranya termasuklah masalah jerawat, kulit kering, eczema dan alergi.
Selain kulit, bahagian tubuh lain juga akan turut terkesan seperti mata dan vagina – yang turut menjadi punca menurunnya nafsu seksual seiring usia.
8. MIGRAIN
Sekiranya anda tidak pernah mengalami migrain, perubahan turun naik hormon boleh menyebabkan anda cenderung mendapatkannya buat pertama kali. Dan jika anda memang penghidap migrain, ia boleh menjadi lebih teruk lagi.
Walaubagaimanapun, setelah ketiadaan haid menjadi konsisten, masalah ini didapati akan menghilang hampir serta-merta. Ini kerana tahap hormon tidak lagi meningkat secara mendadak. Menurut Migraine Research Foundation, hanya 5% wanita yang menghidap migrain selepas usia 60 tahun.
9. MOOD SWING
Seperti yang kita tahu, perubahan hormon dan mood swing begitu sukar dipisahkan. Di samping pergolakan emosi, sesetengah wanita juga akan mengalami masalah sukar tidur. Secara tidak langsung, semua masalah ini juga menjadi punca seseorang wanita lebih pelupa dan kurang fokus.
Sememangnya, bukan mudah untuk melalui fasa perimenopause, namun persediaan dan kematangan sedikit sebanyak akan membantu anda mengendalikan perubahan ini.
10. KERAPUHAN TULANG
Dalam tempoh 5 tahun pertama menopause, seorang wanita boleh kehilangan 20% daripada tulangnya. Apabila ovari tidak lagi menghasilkan estrogen, kerapuhan tulang akan berlaku semakin cepat.
Oleh itu, tidak hairanlah usia ini tulang lebih mudah patah dan wanita lebih terdedah kepada risiko osteoporosis. Sakit-sakit sendi juga semakin kerap berlaku apabila dimakan usia.
CARA MEMPERLAMBAT MENOPAUSE
TIPS LAIN- LAIN